acik's FotoPage kembara sufi
PMC
By: kembarasufi acik

[Recommend this Fotopage] | [Share this Fotopage]
[<<  <  5  6  7  8  9  10  11  [12]  13  14  15  16  17  18  19  >  >>]    [Archive]
Saturday, 12-Jun-2010 04:26 Email | Share | | Bookmark
Bantuan Tidak Sampai..

 
inikah senjata yg dibawa oleh anak2 kapal yg dimaksudkan israel?
 
View all 10 photos...
Berita:10/06/2010
Dicatat pada MAP 2 STREET Link pada 11/06/2010

Laman web Palestin 1948 di Naqab mendedahkan tindakan Pihak Berkuasa Israel yang berani menimbuskan sebahagian barang-barang bantuan yang dipunggah dari armada pembebasan (freedom flotilla) setelah semua kapal ditawan dalam operasi lanun.

Menurut saksi yang menyampaikan hal ini kepada agensi berita "Palestine48" berkata, mereka melihat trak-trak yang sarat dengan barang-barang makanan(makanan dalam tin yang dipek dengan kotak) tiba di tempat pelupusan sampah sambil dikawal ketat oleh polis Israel.

Saksi menyatakan ketika Israel menimbus barang-barang tersebut, mereka terpandang barang-barang peribadi seperti yang dimiliki para sukarelawan freedom flotilla, antaranya pakaian, bendera Turki dan Palestin serta kain rentang tertera kalimah "لا اله الا الله". Setelah selesai kerja penimbusan, pihak polis Israel segera beredar dari kawasan pelupusan sampah itu.

Sumber mengatakan bahawa tempat pelupusan sampah itu adalah yang terbesar, iaitu Dodaem(دودائيم) terletak di bahagian selatan bandar Rahat. Kerja-kerja menimbus sampah terus dibuang ke bawah lapisan bumi, malah sisa-sisa sampah itu dikitar bagi mengalirkan tenaga elektrik. Tetapi, operasi kitar semula itu menimbulkan gangguan bising kepada penduduk-penduduk, terutama yang mendiami di lokasi berdekatan dengan Dodaem. Sumber 11/06/2010, web berita Palestine48

Rakaman gambar: ketika barang-barang muatan armada pembebasan dipunggah setelah kapal-kapal tersebut ditawan dan ditunda ke pelabuhan Ashdud, Israel. Barang-barang bantuan 'armada pembebasan' ini adalah sumbangan untuk penduduk Palestin di Gaza, namun Israel menyekat. Israel menyatakan, pihaknya akan melepaskan mana-mana barang bantuan yang dirasakan perlu sahaja untuk dibawa masuk ke Gaza melalui Pertubuhan Antarabangsa. Sebelum ini dinyatakan, Israel telah melepaskan sebahagian dari kerusi roda elektrik yang berjumlah 500 buah, tetapi apabila tiba di Gaza, kerusi roda tersebut tidak mempunyai bateri.

Credit to MAP 2 STREET..Komuniti Mini Pavilion PMRAM





Saturday, 12-Jun-2010 03:34 Email | Share | | Bookmark
.:Untukmu Gaza:.

Ini sahaja yg mampu ku lakukan buatmu Gaza..
mesej sudah sampai..rundingan masih kabur..
sebelum berlepas..
View all 8 photos...
Salam kembara..

Abaikan gambar...mungkin tiada kene mengena dengan isu..

Acik rasa terpanggil untuk menukilkan ceritera isu ummah di laman fp ini meskipun Acik masih didalam 'pantang' dek kerana masih didalam fatrah imtihan.Diam bukan bermakna Acik bersetuju dengan tindakan kejam ini meskipun peristiwa kekejaman Israel Laknatullah ini sudah berlalu lebih seminggu.Kesempatan waktu ini Acik ingin melahirkan seribu kekesalan,pilu & mengutuk sekeras-kerasnya tindakan biadab dan kejam regim Zionis Israel yang menyerang armada kapal induk Mavi Marmara yang membawa misi kemanusiaan konvoi bantuan antarabangsa Gaza (LL4G) ini.



Serangan Israel yang dilancarkan ini menyebabkan 16 orang syahid dan 30 lagi cedera.Dilaporkan 9 orang warga Turki dan bakinya adalah dari negara Arab yang terkorban di dalam misi kemanusiaan terbesar ini yang membawa 7 buah kapal dan membawa sejumlah besar aktivis sukarelawan yang terdiri daripada ulamak, ahli parlimen, ahli akademik, petugas media, aktivis, seorang kanak-kanak berumur kurang daripada satu tahun dan juga seorang warga emas berumur lebih daripada 80 tahun.

Konvoi ini juga diketuai oleh sebuah NGO daripada Turki iaitu Insani Yardim Vakfi (IHH) yang membawa 10,000 tan bantuan kemanusiaan untuk rakyat Gaza. Selain itu, terdapat lebih daripada 50 buah negara menyertai konvoi terbesar ini. Bahkan, tiada sebarang bentuk persenjataan dibawa oleh sukarelawan konvoi walaupun tujuan untuk mempertahankan diri.Namun regim zionis ini tidak pernah mengenal erti belas dan kasihan sehingga sanggup melakukan pencerobohan dengan menyerang konvoi bantuan kemanusiaan ini.


Peristiwa hitam baru-baru ini telah membuka mata masyarakat dunia bahawa Gaza sedang derita.Mesej yang ingin disampaikan oleh LL4G ini adalah cukup jelas.Hentikan penderitaan rakyat Palestin!!.Bagaikan disimbah minyak ke dalam api,hampir seluruh dunia bangkit mengutuk & mengecam kejadian yang tidak berperikemanusiaan dan tidak bertamadun ini.Apa yang dirasai oleh konvoi ini adalah secebis tindakan kejam yang telah dilakukan ke atas saudara seakidah kita di Palestin selama beberapa dekad.


Beberapa buah negara telah melakukan tindakan demontrasi besar-besaran terhadap isu yang melanda di Gaza termasuk negara Mesir. Mesir juga tidak terkecuali dari mengadakan rapat umum dan demonstrasi jalanan yang dianjurkan oleh aktivis Islam Mesir seperti di Zagazig, Iskandariah, Fayyuom, Tanta, Mansurah, Kaherah dan beberapa buah lagi negeri di Mesir.

Namun atas nasihat pimpinan PMRAM agar para pelajar Malaysia di Mesir tidak terlibat dengan mana-mana demonstrasi,tidaklah dapat untuk Acik lampirkan gambar-gambar ketika demonstrasi di Mesir dijalankan..Bimbang mudharat yang lebih besar akan berlaku apabila ada di kalangan mahasiswa Malaysia khususnya ahli-ahli PMRAM terlibat dengan demonstrasi jalanan. Apa yang mampu kami laksanakan adalah SOLAT HAJAT & melazimi BACAAN QUNUT NAZILAH bagi mendoakan kesejahteraan para aktivis & seluruh saudara seakidah di bumi Palestin.



Menyahut seruan pengurusan PMRAM Pusat agar seluruh ahli mengadakan solat hajat & bacaan qunut nazilah,kebanyakan PMRAM cawangan di Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) & Dewan Perwakilan Mahasiswa (DPM) mengadakan majlis solat hajat dan penerangan isu Palestin hampir di seluruh PMRAM cawangan bermula minggu lepas.Meskipun rata-rata pelajar di sini sibuk mengulangkaji pelajaran bagi menghadapi imtihan,namun ianya bukanlah alasan untuk mahasiswa Islam mendiamkan diri seribu tindakan dan hanya memeluk tubuh dan terus berada di 'zon selesa'.
(berita disini) (Lagi berita disini) (Juga disini)

Mereka yang berada di 'zon selesa' ini menganggap bahawa ini bukanlah isu besar,"isu palestin bukan isu kita" dan terus menjalani kehidupan tanpa menghiraukan apa yang terjadi di luar sana selagimana periuk nasi mereka tidak diganggu gugat oleh sesiapa.Acik kira mereka yang tergolong dalam golongan ini,hanya akan 'berbunyi' apabila hak mereka dicabuli.Bak kata seorang sahabat Acik,mereka ini bolehlah kita gelarkan sebagai golongan mahasiswa 'rice cooker'..faham maksud Acik kan

Maka Acik menyeru kepada seluruh mahasiswa di bumi Mesir khususnya dan seluruh pengunjung laman kembarasufi untuk sama-sama melahirkan kekesalan & mengutuk sekeras-kerasnya tindakan regim zionis ini..Musim ka'sul alam/world cup/piala dunia ini mungkin membuatkan isu panas ini dilupakan sedikit demi sedikit dek kerana kita terlalu seronok menonton pasukan kegemaran kita bertanding..ingatlah..Perjuangan ini masih belum selesai..



p/s:acik akan menghadapi imtihan pada 14/6/2010..doakan kejayaan acik di sini.. keterangan gambar 1-Kamera SLR Minolta X-700,Tele-wide lense kepunyaan sahabat acik..tag 'Montel's Photo adalah kepunyaan Acik..selain dr 'Kembarasufi'



Thursday, 10-Jun-2010 04:00 Email | Share | | Bookmark
Caknakah Mahasiswa Islam?

 
Isu Lesen Judi Bola : Caknakah Mahasiswa Islam? - BKKS PMRAM {Link}

Banyak isu-isu yang telah melanda umat Islam dewasa kini. Tidak kira isu di peringkat dunia seperti isu Palestin, ataupun isu umat Islam di Patani mahupun dengan isu yang berlaku di peringkat negara Malaysia.

Di Malaysia kini, isu judi bola yang menjadi isu hangat diperkatakan oleh setiap lapisan masyarakat, isu ini perlu dipandang serius oleh kita selaku mahasiswa Islam sebagai menyahut sabda nabi :

“Sesiapa yang tidak mengambil berat tentang permasalahan ummat, mereka bukan dari kalangan kami”. (Hadis Nabawi)


Allah Taala telah jelas meyebut didalam al-Quran tentang hukum yang qat’ie berkenaan pengharaman judi,sebagaimana firmanNya:

Maksudnya : ”Wahai orang-orang yang beriman,sesungguhnya minuman keras, berjudi, (bekorban untuk) berhala dan mengundi nasib dengan anak panah adalah perbuatan keji dan termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilan perbuatan-perbuatan itu agar kamu beruntung”. (Surah al-Maidah : 90)
Ayat di atas merupakan dalil yang jelas menunjukkan bahawa perbuatan judi merupakan perkara yang dilarang secara qot’ie disisi syarak. Imam Al-Qurtubi menjelaskan bahawa Allah s.w.t telah mengharamkan perbuatan judi berdasarkan firman-Nya : “Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu”.

Selain itu juga ulama’ secara ijma’ telah mengeluarkan hukum pengharaman judi bagi ummat Islam. Hal ini kerana, judi memberi banyak kesan buruknya kepada pembentukan institusi ummah dan menyebakan tidak mendapat keberkatan daripada Allah.

Oleh yang demikian, BKKS PMRAM ingin mengajak mahasiswa Islam mesir khususnya memahami bahawa isu judi dan isu bola adalah merupakan dua isu yang perlu kita fahami dengan baik. Bukan bermakna Islam melarang judi menunjukkan bahawa islam juga melarang umatnya untuk bersukan.

Islam menggalakkan umatnya untuk bersukan, hal ini kerana dengan bersukan dapat melahirkan umat yang cergas dan sihat. Dengan bersukan juga menunjukkan Islam mengajar umatnya agar mengimbangkan antara aspek jasmani dan rohani dalam membina seorang insan acuan Islam.

Cuma apa yang perlu kita fahami adalah apabila perkara halal bercampur dengan haram maka secara automatiknya perkara tersebut akan menjadi haram dan perlu kita jauhi. Hal ini perlu kita fahami dengan sebaiknya agar ia tidak menimbulkan salah faham yang akan menyebabkan persepsi terhadap Islam disalah ertikan oleh masyarakat awam khusunya.

BKKS PMRAM juga ingin menimbulkan persoalan tentang tahap kecaknaan kita sebagai mahasiswa Islam di Mesir khususnya tentang hal-hal sebegini. Mahasiswa perlu menjuarai isu, samada isu yang berkaitan dengan ummah dunia mahupun isu yang berlaku di tanah air.

Ramai yang beranggapan mahasiswa yang berada di Timur Tengah kadangkala ketinggalan dengan isu-isu dalam negara dengan meletakkan alasan jauh dari negara. Namun sebenarnya ini adalah alasan yang tidak munasabah terutamanya dalam zaman IT seperti sekarang. Hakikatnya kita sebenarnya meletakkan diri kita di dalam zon selesa.

Sebagai golongan mahasiswa Islam yang intelek sewajarnya kita lebih matang dalam menangani isu yang berlaku pada ummah secara ilmiah.

Mahasiswa Islam sebenarnya memikul tanggungjawab memimpin orang ramai malah sehingga tahap membangunkan bangsa dan negara. Cuba kita renungi, kenapa dalam mengejar pembangunan di mana-mana negara, di samping mereka meningkatkan kemodenan, mereka juga terpaksa memantapkan dan menyediakan lebih banyak pusat pengajian tinggi. Jika tiada golongan mahasiswa yang mengisi kemodenan dan menjayakannya, akhirnya kemodenan tersebut akan dinikmati oleh pihak luar.

Oleh yang demikian, perlu kita sedari bahawa tugas kita sebagai mahasiswa Islam bukan sekadar menuntut ilmu semata-mata malahan mengamalkan ilmu tersebut dengan kata lainnya dengan menggunakan ilmu tersebut untuk pembangunan ummah.

Kata seorang ahli sejarah Islam Ibn Khaldun “Kayu ukur kepada kemajuan ataupun kehebatan sesuatu tamadun tersebut adalah apabila berlaku masalah ataupun ujian terhadap tamadun tersebut,akan ada respon ataupun tindakan yang dilakukan oleh masyarakat tamadun tersebut.”

BKKS PMRAM berharap dengan kecaknaan kita terhadap isu-isu yang berlaku terhadap ummah menunjukkan satu respon dan tindakan daripada mahasiswa Islam untuk mengembalikan kegemilangan tamadun Islam terdahulu.

MOHD SOLEHUDDIN BIN MOHD SAFIEN
Badan Kebudayaan, Kesenian Dan Sukan PMRAM (BKKS PMRAM) 2010


http://pmram.org/


Thursday, 10-Jun-2010 03:49 Email | Share | | Bookmark
.:Lesen Judi:.

 
Menyangkal Tulisan Saudara Mohd Shauki Abd Majid Link

“Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani”


Akhbar Utusan Malaysia pada hari Isnin bertarikh 24.5.2010 telah menyiarkan satu rencana yang telah dikarang oleh saudara Mohd Shauki Abdul Majid, pengurus penyelidikan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIEM) yang bertajuk ‘Kerajaan Tidak Menghalalkan Judi dan Arak’. Rencana itu dikarang dengan tujuan menjawab isu lesen perjudian bola sepak yang diberikan oleh kerajaan Malaysia. Di dalam rencana tersebut pengarang mendakwa bahawa pemberian lesen perjudian tersebut tidak bercanggah dengan kaedah siasah syariyyah sebagaimana yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w dan Saidina Umar al-Khattab.

Namun setelah diteliti dengan mendalam mengikut nas-nas al-Quran dan hadis serta kaedah syarak, rencana tersebut secara jelas tidak dapat memberikan hujjah yang benar dan didapati banyak kesilapan yang telah dilakukan oleh pengarang dalam usaha membenarkan dakwaan beliau. Secara ringkas, pengarang mahu menyamakan hukum berkaitan arak dengan hukum perjudian yang mana membenarkan sebuah negara membuka ruang aktiviti perjudian sebagaimana arak dibenarkan kepada bukan Islam berdasarkan maslahah. Di sini pihak saya akan menyatakan kesilapan-kesilapan tersebut berdasar beberapa perkara dibawah:

Kesilapan Pertama: Pengharaman judi disamakan dengan pengharaman arak

Dalam muqaddimah rencana tersebut, pengarang telah menyebut perihal pengharaman arak secara beransur-ansur (tadarruj) sebagaimana yang tersebut di dalam Al-Quran pada surah Al-Baqarah (ayat 219), surah Al-Nisaa’(ayat 43) dan surah Al-maidah (ayat 90). Tujuan pengharaman arak secara beransur-ansur adalah untuk meraikan keadaan dan suasana umat Islam pada ketika itu yang masih lagi dalam peringkat pembinaan iman. Pengarang walaubagaimana pun telah menyamakan pengharaman judi dengan arak semasa mengulas ayat 43 surah al-Nisaa’ dengan kata beliau:

“Pada peringkat kedua, Allah SWT menurunkan ayat selanjutnya, iaitu ayat 43, surah al-Nisa. Antara kandungannya ialah Allah melarang orang Islam menunaikan solat ketika mereka mabuk, sehinggalah mereka benar-benar mengetahui apa yang mereka bacakan. Pada tahap itu, arak dan judi masih belum diharamkan secara tegas.”

“Akhirnya, Allah menurunkan firman-Nya dalam surah al-Maidah, ayat 90 yang dengan tegas mengatakan bahawa arak, judi, menyembelih korban untuk berhala dan nujum adalah lebih keji dan lahir daripada perbuatan syaitan.”

Pada hakikatnya pengharaman judi tidak boleh disamakan dengan pengharaman arak dari sudut tadarruj (bertahap). Pengharaman judi sebenarnya adalah sama dengan pengharaman zina, bunuh, mencuri, merompak dan lain-lain yang mana pengharamannya datang secara terus tanpa disebut secara bertahap sebagaimana pengharaman arak kerana mudarat aktiviti perjudian amat besar kepada masyarakat berbanding arak yang mana ia digunakan juga untuk aktiviti lain seumpama tujuan perubatan oleh masyarakat pada ketika itu selain daripada minuman.

Oleh itu pengharaman sekaligus telah diwahyukan oleh Allah dalam surah Al-Maidah ayat 90. Maka jelaslah di sini pengharaman secara bertahap adalah dikhususkan untuk arak tidak termasuk judi dengan hikmah tertentu. Walaupun pengharaman judi tidak disebut di dalam al-Quran sebagaimana arak tetapi ia tidak bermakna judi dihalalkan oleh Islam sebelum dinyatakan secara jelas di dalamnya. Kalaulah kaedahnya begitu, maka perbuatan lain seperti membunuh, merompak dan berzina dikira halal sebelum diharamkan oleh al-Quran.

Kesilapan Kedua: Mendakwa dalil orang bukan Islam boleh meminum arak berdasarkan perbuatan Rasulullah s.a.w menyuruh para sahabat membayar ganti rugi (dhoman) terhadap bekas arak yang dipecahkan.

Pengarang berkata:

“Pernah berlaku di zaman Rasulullah SAW, beberapa sahabat memecahkan tempat menyimpan arak milik bukan Islam. Rasulullah telah meminta supaya para sahabat berkenaan membayar diat (ganti rugi) yang jumlahnya setimpal dengan nilai barangan yang telah dirosakkan. Ini boleh dijadikan asas bahawa orang bukan Islam boleh meminum minuman yang memabukkan atau memprosesnya selagi tidak memudaratkan orang lain”

Pertama, pengarang mengistilahkan ganti rugi dengan perkataan diat. Istilah tepat yang sepatutnya digunakan mengikut ilmu feqh adalah dhoman. Kedua, hadis tersebut langsung tidak menyebutkan orang bukan Islam harus minum arak secara jelas (sorih) atau melalui mafhumnya (samada mafhum muwafaqah, mafhum mukhalafah dan lain-lain yang digunakan untuk memahami nas).

Ketiga, Rasulullah menyuruh para sahabat membayar ganti rugi adalah kerana merosakkan harta iaitu bekas-bekas yang masih boleh digunakan sedangkan yang diharamkan adalah arak bukan bekas-bekas tersebut. Bekas-bekas tersebut tiada kaitan dengan pengharaman arak.

Keempat, hukum bukan Islam meminum arak di dalam syariat Islam juga adalah berdosa dan dihisab pada hari akhirat. Ini kerana mengikut pendapat yang paling kuat di sisi para ulama, bukan Islam juga ditaklifkan dengan perkara furu’ (seperti solat, zakat dan lain) sebagaimana mereka ditaklifkan dengan perkara usul (iaitu beriman dengan Allah). Maka tiada dalil yang membenarkan atau mengharuskan perbuatan tersebut mengikut nas Al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w.

Cuma perkara yang membenarkan mereka meminum arak adalah berdasarkan dasar toleransi Islam itu sendiri yang membenarkan penganut agama lain yang berada dalam negara Islam melakukan aktiviti yang dibenarkan oleh agama mereka seperti meminum arak dan memakan daging khinzir. Sesebuah negara Islam itu tidak boleh menghalang mereka dalam soal tersebut. Ianya berlainan dengan judi yang tidak dibenarkan atau dihalalkan oleh mana-mana agama utama di dunia. Oleh itu Khilafah Islamiah sejak dahulu tidak membenarkan judi kerana diharamkan oleh seluruh agama di dunia.(Rujuk Ghairul Muslimin Fi Mujtama’ Islami, Dr. Yusuf Al-Qaradawi, ms 47-48, cetakan Maktabah Wahbah, Kaherah)

Seterusnya pengarang berkata:

“Namun, mereka perlu sedar bahawa perbuatan tersebut bercanggah dengan ajaran umat Islam. Jika mereka hendak meneruskan juga perbuatan itu, maka hendaklah dilakukan secara yang tidak mengganggu umat Islam seperti di tempat-tempat khusus dan tersembunyi.

Pengajaran dan pembinaan hukum Islam seperti dalam kes pengharaman arak ini amat sesuai dengan situasi yang wujud di Malaysia, iaitu umat Islam dan bukan Islam hidup bersama dalam sebuah entiti negara.”

Kemudian pengarang berkata lagi:

“Prinsip itu terkandung dalam siasah syariah. Imam Syafie r.a. dalam kitabnya Asybah Wa al-Nazair ada membincangkan satu kaedah yang bermaksud: Pemimpin seharusnya bertindak ke atas rakyatnya berdasarkan kesesuaian maslahah (kebajikan dan kepentingan umum).”

Memang diakui sekiranya bukan Islam ingin melakukan aktiviti yang dibenarkan oleh agama mereka tetapi diharam oleh Islam (seperti kes minum arak), maka hendaklah dilakukan ditempat khusus dan tersembunyi supaya tidak menyinggung perasaan umat Islam. Tetapi persoalannya, adakah perkara ini betul-betul diangkat menjadi undang-undang Malaysia atau diamalkan secara baik?

Apa yang terjadi adalah berlawanan sebagaimana yang dakwaan-dakwaan yang terdapat di dalam rencana tersebut yang berkaitan dengan arak. Kita boleh lihat sendiri arak dijual secara berleluasa tanpa kawalan, dihidangkan di dalam hotel-hotel, dijual oleh peramugari beragama Islam di dalam kapal terbang, kilang yang terbesar di Asia Tenggara dan diminum serta dijual secara terbuka oleh orang Islam sendiri. Adakah wujud satu kaedah khusus dalam Islam yang membenarkan sebuah negara menjalankan aktiviti perniagaan arak sampai ke tahap itu? Di mana maslahah yang didakwa?

Keadah yang disebutkan oleh pengarang sedikit pun tidak tepat dengan realiti yang berlaku ataupun boleh dianggap telah menyeleweng daripada maksud yang tujuan asal. Apa yang berlaku sekarang adalah satu mafsadah dan bukan maslahah. Adakah tepat sekiranya semata-mata ingin menjaga satu kepentingan kita mengundang satu kecelakaan kepada umat? Adakah sama perbuatan Saidina Umar mengutip cukai import arak dengan keadaan sekarang? Itu adalah persoalan kepada pengarang kerana saya tidak mahu membahaskan persoalan maslahah di dalam Islam secara panjang lebar kerana isu yang diulas adalah berkaitan judi.

Kesilapan Ketiga: Pengarang silap menyebut kaedah syara’

Samada secara sedar atau tidak, pengarang sebenarnya telah melakukan kesilapan dalam menyebut satu kaedah penting iaitu katanya:

“Malah dalam usul fikah juga terdapat perkara yang menekankan menangani bahaya yang khusus adalah lebih diutamakan daripada bahaya yang umum (yang boleh melibatkan kemudaratan yang lebih besar).”

Kaedah yang sebenarnya adalah berbunyi, “menangani bahaya yang umum (melibatkan masyarakat umum atau lebih besar) lebih diutamakan daripada bahaya khusus (yang bersifat peribadi dan kecil).

Bagi sesiapa yang mempelajari Fiqhul Muwazanah (rujuk Siasah Syariyyah, Dr. Yusuf al-Qaradawi, m.s 300-301, Maktabah Wahbah, Kaherah) akan memahami dengan mudah kaedah tersebut. Kaedah yang sama dalam bahasa arab berbunyi:


"دفع المفسدة العامة يقدم على المفسدة الخاصة"
“Mengelak kemudaratan umum lebih utama daripada yang khusus”

"ضحى بالمصلحة الخاصة من أجل المصلحة العامة"
“Dikorbankan maslahah khusus kerana menjaga kepentingan umum”

"يتحمل الضرر الأدنى لدفع الضرر الأعلى"
Ditanggung mudarat yang lebih kecil kerana mengelakkan mudarat yang lebih besar”

"يتحمل الضرر الخاص لدفع الضرر العام"
“Ditanggung mudarat yang khusus untuk mengelak mudarat yang umum”



Semua kaedah di atas mempunyai maksud yang hampir sama iaitu menjaga kepentingan umum diutamakan dengan menggadaikan kepentingan khusus atau mengelakkan bahaya yang lebih besar dan yang melibatkan masyarakat secara amnya perlu diutamakan dengan hanya menanggung bahaya yang lebih kecil atau khusus.(Qawaid Fiqhiyyah, Dr. Abdul Aziz Muhammad Azzam, m.s 144, Darul Hadith, Kaherah)

Pengarang berkata:

“Pada masa pemerintahan Khalifah Umar Al-Khattab, beliau pernah mengenakan cukai import ke atas minuman keras yang dibawa masuk dari luar negara. Hasil kutipan tersebut dimasukkan ke dalam sumber am negara dan dibelanjakan untuk pengurusan infrastruktur seperti jalan raya.

Ini menggambarkan suatu pemerintahan yang bijaksana apabila pengimportan najis tersebut dibenarkan dan dikawal. Maksudnya, pemerintah telah mengambil langkah memilih bahaya (kemudaratan) yang sedikit daripada bahaya yang lebih besar.”

Untuk pengetahuan pembaca, kaedah yang digariskan adalah kaedah “menanggung bahaya yang lebih ringan daripada dua bahaya atau Irtikab Akhaffu dharurain”. Maksudnya lebih kurang kaedah di atas. Selain itu, soal yang dilaksanakan oleh Saidina Umar adalah berkaitan arak dengan berdasarkan toleransi Islam dengan bukan Islam seperti yang telah saya nyatakan tadi dalam perbahasan kedua. Kerajaan Islam yang dipimpin oleh sahabat Nabi Muhammad yang agung ini tiada kena mengena sedikit pun dengan urusan perjudian.

Selain itu juga, kaedah ini juga tidak terpakai dalam isu judi kerana memberikan lesen perjudian pada hakikatnya akan menimbulkan darurat yang lebih besar kepada negara bahkan menggalakkan aktiviti perjudian di kalangan rakyat kerana mendapat ‘lampu hijau’ daripada kerajaan. Mereka juga tidak menanggung risiko penanggkapan polis.

Oleh itu, sekiranya kaedah ini ingin digunakan maka yang sepatutnya yang dilaksanakan ialah kerajaan seharusnya mengharamkan aktiviti perjudian dan menangkap mereka yang berjudi sekalipun terpaksa mengorban harta, masa dan tenaga kerana risiko pengorbanan itu lebih ringan berbanding membiarkan rakyat terjebak dengan aktiviti yang keji lagi mempunyai mudarat yang besar. Dengan itu, barulah kaedah yang tersebut di atas tepat pada perlaksanaannya sebagaimana yang disebut oleh para fuqaha’ serta kerajaan juga dapat mendidik masyarakat agar tidak terjebak dengan arak dan judi.

Kesilapan Keempat: Menqiyaskan hukum arak dengan hukum judi

Kesilapan yang paling utama dan juga tujuan utama rencana ini dikarang adalah untuk membenarkan tindakan kerajaan mengeluarkan lesen judi dengan membawa dalil-dalil yang mengharuskan perniagaan arak dalam negara Islam.

Maaf, saya ingin katakan bahawa pengarang belum memahami selok belok ilmu siasah syariyyah dengan baik atau memahami ilmu qawaid fiqhiyyah secara sempurna sehinggakan dalil yang dibawa untuk mengharuskan arak dijual dalam negara Islam pun banyak menyeleweng dan salah. Apatah lagi ingin menggunakan hujjah tersebut untuk menghalalkan aktiviti perjudian. Pengarang telah menyebut dalam rencana tersebut:

“Inilah persepsi yang sepatutnya difahami apabila kerajaan mengizinkan pengimportan ke atas arak, atau mengeluarkan lesen judi. Kerajaan juga tidak menghalalkan arak dan judi atau mendorong dan menggalakkan rakyatnya berjudi dan meminum arak.”

“Tegasnya arak dan judi adalah untuk mereka yang bukan beragama Islam, yang menjadikan judi dan arak itu sebagai lumrah dalam kehidupan mereka. Lagi pun undang-undang dalam enakmen syariah di setiap negeri ada memperuntukkan fasal-fasal yang menjatuhkan hukuman ke atas kegiatan dan penglibatan umat Islam dalam kes judi dan arak.”

Sekali lagi ingin saya nyatakan bahawa Islam tidak membenarkan langsung aktiviti perjudian kerana semua agama di dunia tidak menghalalkannya. Ini berlainan dengan isu arak yang mana ia merupakan hak bukan Islam untuk meminumnya dalam negara Islam kerana ia dibenarkan oleh sebahagian agama mereka walaupun Islam meletakkan piawaian tertentu untuk mengelakkan berlaku kemudaratan. Hak ini samalah dengan hak mereka untuk beribadat di kuil-kuil, merayakan hari kebesaran agama mereka dan lain-lain.

Kesimpulan hujjah yang didakwa pengarang ialah judi diharamkan bersama arak yang mana pengharamannya secara bertahap. Judi juga adalah amalan dan budaya jahiliyyah seperti arak maka hukumnya adalah seperti arak. Memberikan lesen judi pula adalah daripada satu perinsip pemimpin negara untuk menjaga maslahah umum dan menanggung mudarat yang ringan.

Setelah dijawab satu persatu maka jelaslah dalil-dalil tersebut adalah dalil rekaan yang tidak berdasarkan keilmuan yang jitu dan tidak menepati realiti. Mereka yang benar-benar mengkaji hukum dan tarikh tasyri’ sangat mudah untuk mematahkan hujjah yang dangkal tersebut.

Tegasnya, mengqiyaskan soal arak dengan soal judi dalam persoalan ini adalah Qiyas maal fariq. Sejarah Islam belum pernah mencatatkan mana-mana kerajaan di bawah mana-mana Khalifah membenarkan aktiviti judi kerana judi itu seolah-olah telah membunuh aktiviti ekonomi rakyat.


Akhir sekali, saya menyeru dan mencadangkan kepada kerajaan Malaysia supaya mengharamkan aktiviti perjudian dan menasihati kepada golongan agamawan dalam sektor-sektor kerajaan supaya berani menegur kesilapan dan bukannya mengeluarkan fatwa yang menyeleweng. Saya memohon ampun sekiranya jawapan ringkas ini mengandungi kelemahan. Wallahu A’lam.

Disediakan oleh :
Khairul Anuar Bin Ismail
Pengerusi Felow Manhal PMRAM

http://pmram.org/


Sunday, 6-Jun-2010 20:41 Email | Share | | Bookmark
Hadiah Buat Syuhada'



Bidadari..Bidadari...
Temanilah resahku

Bidadari..Bidadari..
Tenangkan-lah Jiwaku

Sumpah Setia
Hidup Mati
Selamanya
Kerna Kau Isteriku
Isteriku Tercinta
Pelengkap Rusuk Kiriku

Bidadari..Bidadari..
Jadilah pendampingku

Bidadari..Bidadari..
Jadilah sang setia

Kerna Cinta
Cinta Suci
Ertinya Tidak Pernah Sepi
Sepi daripada
Cubaan yang tak terduga

*Chorus
Kau Umpama Bintang Utara
Penunjuk Jalan yang terang
Kau beri harapan
Saat ku jatuh bangun semula

Kau Berikan Sakti Cintamu
Penawar racun berbisa
Dan ikatan kita
Cinta Abadi HANYA di Syurga


lirik & Lagu oleh:Munif Ahmad atau Putera Aiman



Buat semua aktivis LL4G,khususnya yang terkorban..moga Allah memberi ganjaran Syurga Firdaus buat pejuang keamanan ini.Alfatihah buat semua syuhada'.yakinlah bahawa Bidadari sedang menantimu..misi murni ini moga terus dilaksanakan..hari ini Iran pula bakal menghantar misi bantuan ke Gaza..doakan mereka..


[<<  <  5  6  7  8  9  10  11  [12]  13  14  15  16  17  18  19  >  >>]    [Archive]

© Pidgin Technologies Ltd. 2016

ns4008464.ip-198-27-69.net